Muhyiddin Ramal PAS Mungkin Keluar Pakatan Pembangkang Kerana Pertembungan Ideologi
Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kiri) disambut mesra
penduduk kampung ketika hadir ke majlis Pelancaran Aku Janji Barisan
Nasional (BN) Negeri Sembilan di Dewan Orang Ramai Felda Sendayan dekat
sini, hari ini. Turut kelihatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga
merupakan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau, Datuk Seri
Mohamad Hassan (kiri).
SEREMBAN, 26 April (Bernama) -- Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meramalkan PAS akan keluar
daripada pakatan pembangkang suatu masa nanti kerana terdapat
pertembungan ideologi dan dasar yang serius di antara mereka.
"(Mengenai) soal dasar, ada yang (mahu) tubuhkan negara Islam dan
laksanakan hukum hudud, hari ini perbahasan dalam suratkhabar jelas
membuktikan pertembungan yang serius dan tidak ada sepakat (di antara
mereka).
"Saya juga fikir dalam satu peringkat nanti (bila) begitu genting
keadaannya, akhirnya PAS pun kata, kalau beginilah saya (PAS) terpaksa
keluar daripada pakatan pembangkang," katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran sisipan
Aku Janji Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan di Dewan Orang Ramai
Kampung Felda Sendayan di sini Jumaat.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan,
Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin dan calon-calon BN bagi kawasan
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini. Muhyiddin berkata
jika ditakdirkan pakatan pembangkang menerajui negara dan pertembungan
itu masih berlaku, maka politik negara akan goyah kerana kerajaan yang
hendak dibentuk akan terumbang-ambing dan seterusnya membawa kesan buruk
kepada negara.
"Kalau kita lihat bagaimana debat mengenai negara Islam dan hudud yang
disuarakan oleh pihak PAS ditentang dengan hebat, dan ini menjadi teras
dalam perjuangan PAS.
"Pertembungan yang agak luar biasa itu akan menyebabkan PAS disisihkan,
kerana kerusi (Parlimen) yang PAS bertanding pun hanya 70 lebih sahaja
daripada 222 kerusi (Parlimen).
"(Dan) saya jangka PAS hanya menang sebahagian daripada itu sahaja,
(jadi) bagaimana PAS hendak mempengaruhi majoriti yang terdiri daripada
PKR dan DAP?" soalnya.
Beliau berkata tidak sewajarnya rakyat memutuskan untuk membuat suatu
perubahan yang mendadak atau luar biasa hanya kerana mereka fikir BN
sudah terlalu lama memerintah.
"Ada yang nak mencuba sesuatu yang baru tapi saya berpendapat
pengalaman yang sedia ada, kita (BN) telah melalui zaman senang dan
susah menguruskan ekonomi negara, masalah keselamatan negara waktu
awal-awal dulu, soal komunis.
"Ini pengalaman yang tidak ada bagi pihak parti pembangkang lebih-lebih lagi pakatan pembangkang jadi lebih rapuh," katanya.
Muhyiddin berkata walaupun banyak perkara yang menunjukkan
ketidaksepakatan pakatan pembangkang dari dahulu sehingga sekarang,
namun mereka masih berselindung atas nama itu.
Beliau juga percaya bahawa sokongan rakyat dan akar umbi terhadap BN
semakin meningkat, mengikut bancian sikap pengundi yang dijalankan parti
gabungan berkenaan.
"Saya yakin rakyat sudah mula yakin dan ini jelas terbukti di banyak
kawasan mempunyai peningkatan (sokongan) yang agak baik dan memberi
kelebihan kepada BN," katanya.
Aku Janji bertajuk 'Satu Kejayaan Suatu Pengharapan, Janji Ditepati' itu
mengandungi 45 janji yang akan dilaksanakan sekiranya BN terus diberi
mandat mentadbir negeri ini pada pilihan raya umum ke-13.
-- BERNAMA