SEREMBAN – Calon berpengalaman Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang bertanding di Parlimen Jempol mahu memastikan lawannya iaitu penyanyi Aishah tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Mohd. Isa berkata, beliau pernah memenangi kerusi berkenaan pada pilihan raya 2004 sebelum kemenangan itu diteruskan oleh Datuk Lilah Yasin pada tahun 2008.
“Saya juga percaya semua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Jempol akan dimenangi oleh BN termasuk Bahau yang tewas pada 2008,” katanya selepas diumumkan sebagai calon Parlimen itu oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini semalam.
Pas sebelum ini mengumumkan Aishah, 48, atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin yang pernah popular dengan lagu Janji Manismu pada tahun 90-an bakal bertanding di Jempol.
Empat DUN di bawah Parlimen berkenaan ialah Palong, Serting, Jeram Padang dan Bahau.
Mohd. Isa memberitahu, kebanyakan pengundi di kawasan tersebut adalah peneroka Felda dan beliau percaya mereka tidak akan menyokong pembangkang khususnya Pas yang meletakkan seorang penyanyi di kawasan itu.
Beliau yang juga Pengerusi Felda yakin akan mendapat sokongan bukan sahaja daripada generasi pertama Felda tetapi juga generasi kedua.
Sementara itu, Lilah yang akan bertanding di DUN Palong berkata, Pas sanggup mengetepikan calon yang mempunyai latar belakang agama seperti Ketua Dewan Pemuda Pas Jempol, Mohd. Fairuz Mohd. Isa semata-mata untuk mencalonkan Aishah.
No comments:
Post a Comment