Klik Untuk Ke Web Barisan Nasional (BN)

Friday, April 19, 2013

Datuk Seri Mohamad Hasan : Calon BN teliti isi borang penamaan


SEREMBAN 18 April - Proses mengisi borang penamaan calon berjalan lancar di kediaman rasmi Menteri Besar dengan calon Barisan Nasional (BN) hadir berbuat demikian di sini hari ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu perlu dibuat dengan teliti dan akan disemak semula esok.
"Kita tidak mahu ada kesilapan dalam kertas penamaan calon itu dan memastikan semuanya berjalan lancar pada hari penamaan calon, Sabtu ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, kesilapan kecil pada kertas penamaan calon itu hanya akan merugikan BN kerana bukan sahaja berkemungkinan ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malah memberi kemenangan percuma kepada lawan.

Sementara itu, beberapa calon BN yang ditemui Utusan Malaysia di situ memberitahu, mereka telah pun memulakan gerak kerja di kawasan yang diamanahkan sebaik menerima watikah daripada Mohamad.

Calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Jalaluddin Alias berkata, beliau telah melancarkan Unit Media Baru BN bagi menyalurkan segala maklumat berkaitan kempen kelak.

"Kita akan dekati pengundi muda terutamanya melalui media sosial. Kami lihat ini wadah yang segar dan mudah diterima pengundi," katanya.

Calon BN DUN Ampangan, Abu Ubaidah Redza berkata, beliau telah bertemu sebahagian besar pengundi dan yakin kawasan itu yang dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya umum lalu akan kembali kepada BN.

Sementara itu, calon BN Parlimen Rasah, Teo Eng Kian berkata, beliau tidak menunggu lama mendampingi pengundi kerana sedar kawasan tersebut adalah kubu kuat pembangkang selepas dimenangi Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook.

"Sebelum saya menerima watikah ini, saya sudah bertemu pengundi di situ dan maklum balas yang diterima amat positif kerana mereka mahu BN kembali menguasainya," katanya.

No comments: