Klik Untuk Ke Web Barisan Nasional (BN)

Monday, April 22, 2013

PRU 13 Datuk Seri Mohamad Hasan - 'Pikat' segera pengundi bukan golongan ahli parti

SEREMBAN 19 April - Pengundi atas pagar dan bukan ahli parti kini sedang memerhatikan gelagat setiap parti yang bertanding bagi memilih parti yang benar-benar berwibawa menerajui negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.


Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, golongan itulah yang harus didekati calon, jentera dan ahli parti supaya mereka dapat melihat susun atur, gerak kerja, dasar dan manifesto yang dibawa cukup menambat hati mereka memilih BN pada 5 Mei ini.
"Setiap parti ada penyokong tegar masing-masing tetapi ada juga pengundi bukan ahli dan jika mereka selesa serta mendapati BN tiada masalah, inilah yang akan memenangkan hati mereka untuk mengundi kita dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Saya percaya dalam konteks ini, BN sudah mendahului pakatan pembangkang dengan rakyat mempercayai dan melihat apa yang telah dilakukan kerajaan BN dalam membela serta mensejahterakan mereka sejak sekian lama," katanya di sini hari ini.

Tambah Mohamad, pengundi yang bukan ahli parti kebanyakannya adalah generasi muda dan golongan profesional yang boleh akses maklumat dengan mudah melalui media baru seperti laman sosial, portal berita atau gajet tertentu.

Pada masa yang sama juga, Mohamad mengakui di kawasan luar bandar juga merupakan kubu kuat BN dan turut terdedah dengan media baru ini.

"Kita juga sedar apabila pengundi yang bukan ahli ini balik kelak ke kampung, mereka turut membawa pandangan yang diperoleh menerusi media baharu.

"Sebab itulah, jentera mahupun agensi berkaitan perlu menyalurkan maklumat tepat dalam laman sesawang mereka untuk rujukan rakyat dan melalu pautan tertentu supaya boleh menangkis maklumat salah berkenaan," ujarnya.

Katanya, beliau optimis semua kerusi tradisi BN yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu akan dikuasai semula selain penambahan di kerusi-kerusi yang tewas dahulu.

No comments: