Klik Untuk Ke Web Barisan Nasional (BN)

Saturday, April 27, 2013

PRU13 Tan Sri Muhyiddin Yassin BN N.Sembilan lancar sisipan aku janji PRU13 Di Kampung Sendayan

BN N.Sembilan lancar sisipan aku janji PRU13

Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) semasa berucap pada Majlis Pelancaran Aku Janji BN Negeri Sembilan di Dewan Orang Ramai Felda Sendayan dekat Seremban, hari ini.- Foto Bernama
 
SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan hari ini melancarkan sisipan aku janji 'Satu Kejayaan Satu Penghargaan Janji Ditepati' yang mengandungi 45 janji yang akan dilaksanakan sekiranya BN terus diberi mandat mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Aku janji tersebut dilancarkan Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di Dewan Orang Ramai Kampung Felda Sendayan, di sini yang turut dihadiri pemimpin dan calon BN di negeri ini.

Bagi mensejahterakan rakyat, BN berjanji untuk mencapai sifar miskin tegar, menambah bilangan rumah mampu milik untuk rakyat, menyediakan lebih banyak projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), menyebar luas perkhidmatan Wifi percuma, menambah baik kemudahan jalan raya dan menyiapkan pembinaan Hospital Rembau yang serba moden.

Untuk memastikan Dasar Lembah Ilmu yang diperkenalkan kerajaan negeri sebelum ini terus berjaya, BN menggariskan aku janji untuk memberi insentif kepada anak negeri yang mendapat kelulusan kelas pertama di institusi pengajian tinggi.

Insentif galakan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) dan menaik taraf Institut Tahfiz Al-Quran di Gemencheh turut akan dilaksana di bawah dasar itu.

Bagi meneruskan kejayaan Dasar Jaringan Sosial pula, BN negeri berjanji untuk menyelesaikan pewartaan 40 kampung Orang Asli yang belum diwartakan dan berusaha untuk mempertingkat taraf ekonomi Orang Asli.

Turut digariskan dalam aku janji itu adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan warga bandar dengan mengisytiharkan Seremban sebagai sebuah bandar raya, menaik taraf beberapa majlis daerah kepada majlis perbandaran dan menambah bilangan parkir bagi keselesaan warga Seremban.

Tumpuan turut diberikan terhadap memperkukuh syiar Islam dan keharmonian antara agama serta memperkasa skim rondaan sukarela dan kepolisan rakyat.

BN negeri juga berjanji menguruskan perkhidmatan dengan cekap dan mengamalkan pengurusan kewangan berhemah serta menarik lebih banyak pelaburan untuk mewujudkan peluang pekerjaan. - Bernama

No comments: