Klik Untuk Ke Web Barisan Nasional (BN)

Thursday, April 18, 2013

Sejarah semua muka baharu dalam Parlimen Telok Kemang

SEREMBAN 16 April - Sejarah baharu tercatat di Parlimen Telok Kemang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila semua calon Barisan Nasional (BN) di kawasan ini menampilkan calon muka baharu.
Kejutan itu diumumkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut menyaksikan Exco negeri, Datuk V.S. Mogan bertanding di kerusi Parlimen Telok Kemang.

Selain Mogan, muka baharu lain ialah Datuk Seri Lim Chin Fui yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Vincent Yeong Seng Wong (DUN Lukut), Tun Hairuddin Abu Bakar (DUN Bagan Pinang); Abdul Rahman Mohd. Redza (DUN Linggi), Dr. Thanaletchumy (DUN Port Dickson).

Mogan yang juga Ketua Penerangan MIC Pusat berkata, dengan gabungan mantap calon itu beliau yakin BN mampu merampas semula kerusi yang dikuasai pembangkang pada 2008.

‘‘Kita mempunyai rekod baik membangunkan rakyat, malah rakyat boleh membezakan kerja-kerja yang dilakukan BN dan pembangkang di Parlimen dan DUN. Kita amat yakin, BN boleh menang semua kerusi ini," katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon itu di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Telok Kemang, Abd. Rahman yang bertanding di Linggi berkata, pencalonan sebanyak 72 peratus muka baharu melenyapkan tuduhan pembangkang kononnya BN ketandusan calon.

“Ini tidak benar dan buktinya ramai calon muda diberi peluang bertanding. Ini menjadikan kami lebih bersemangat membawa kemenangan kepada BN serta berkhidmat untuk rakyat," katanya.
Bendahari MCA negeri, Chin Fui berkata, dia akan bekerja keras untuk memastikan pengundi terutamanya kaum Cina kembali menyokong BN dan menolak pembangkang di DUN Chuah.

Sementara itu, Tun Hairudin yang bertanding di kerusi yang disandang Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, beliau mahu meneruskan legasi kemenangan BN di DUN Bagan Pinang tersebut.

“Saya orang baharu dan tentulah ini satu tanggungjawab besar. Saya akan bekerja keras memastikan kemenangan BN dan tiada istilah berada dalam zon selesa selagi khidmat kepada rakyat diperlukan," katanya.

No comments: